“Lalala~ Atuk ooo atuk, Begitulah awan nano, Sering saja tak terduga hadir, Dan tak akan tercapai jejarimu. Menarik tak lagu nie?” kata Samad.
“Apa ke benda kamu menyanyi tu, mana salam? Jumpa-jumpa je terus menyanyi. Terpekik terlolong, atuk tengok mulut kamu tu lagi luas dari mata ikan lolong tahu tak?” Jawab atuk.
“Maaf tuk. Assalamu’alaikum atuk!”
“Wa’alaikumussalam. Haa kan bagus begitu.”
“Atuk, sedap tak lagu tadi?”
“Sedap? Boleh makan ke? Hehehe” Sinis atuk.
“Eh, ke situ pulak. Atuk tahu tak tu laa lagu awan nano, menang AJL lagi. Hafiz tu idola super Samad tahu. Idola melebihi segalanya”
“AJL atuk tak suka ambil tahu tapi kalau AJAL atuk mesti amik tahu!”
“Atuk ni mulalah nak bersyarah. Cer atuk ajuk Samad nyanyi, Begitulah awan nano, Sering saja tak terduga hadir, Dan tak akan tercapai jejarimu. Lalalala.”
“Begitulah ajal maut, sering saja tak terduga hadir, dan tak kan tertangguh olehmu. Macam tu kew?” Nyanyi atuk.
“Hahaha. Hebat atuk tukar lirik. Sedap jugak, mesti atuk minat Hafiz jugak kan?”
“Tak lah, atuk minat orang lain, dia jauh lebih hebat daripada Hafiz yang kamu katakan tu”
“Yeke? Tak cayelah. Hafiz da best!”
“Apa yang kamu dapat dengan meminati artis?”
“Sudah tentulah kepuasan. Manusia perlukan sesuatu yang meyenangkan”
“Itu je? Dengan meminati idola atuk, atuk dapat ganjaran”
“Hah? Biar betul. Dia ada fan club ke? Alaaa, mesti dia bagi t-shirt, hamper kan? Samad dapat lebih daripada itu lagi laa”
“Ganjaran kamu tu tak special langsung. Hehe” Beritahu atuk.
“Kalau begitu, apa pula ganjaran yang atuk dapat?” soal Samad.
“Atuk dapat hati, bersedekah, kecintaan dan bantuan” Jelas atuk dalam keadaan tersenyum.
“Biar betul atuk, macam tak percaya je. Hebatnya idola atuk. Tapi, boleh Samad tanya sesuatu?” soal Samad.
“Boleh, tanyalah.” Jawab atuk.
“Apa maksud atuk tentang ganjaran hati tu?” Samad kebingungan.
“Atuk merasai ketenangan dan kedamaian”
“Alah tu je? Samad pun dapat, dengan mendengar lagu awan nano, Samad dapat ketenangan dan boleh release tension”
“Tapi ketenangan yang atuk cakap tu lain macam sikit”
“Lain yang macam mana?”
“Halawatul iman”
“Cuba atuk jelaskan, Samad tak fahamlah”
“Begini, jika kamu asyik dengar lagu yang sama setiap hari, pasti kamu akan rasa bosan. Jadi, di mana ketenangan yang kamu uar-uarkan tadi? Jika ada lagu lain yang lebih menyerlah dan kamu meminatinya serta menenangkan dirimu, jadi macam mana dengan ketenangan kamu yang sebelumnya? Adakah kamu perlu bertukar-tukar lagu dan penyanyi untuk mendapatkan ketenangan? Jelas ianya bukanlah ketenangan yang hakiki. Berlainan dengan atuk, atuk cuma perlu mengingati beliau maka kecintaan, ketenangan dan kemanisan iman akan hadir memenuhi hati atuk. Kerinduan akan memupuk mawaddah serta kasih sayang dalam kehidupan.” jelas atuk
“Emm ada benarnya kata atuk, Samad nampak point atuk tue. Macam mana pula dengan sedekah? Bagaimana atuk dapat bersedekah dengan hanya mengingati idola atuk? Samad tak faham”
“Dengan mengingati idola atuk, atuk boleh bersedekah kepada hati dan kepada diri atok sendiri.”
“Apa maksud bersedekah kepada hati?”
“Sedekahkan selawat dan salam. Sudah pasti hatimu akan linang, ketenangan yang tidak mampu dibeli dengan wang, bahkan kamu akan peroleh senang dengan pahala yang menjadi ganjaran..”
“Wah, dahsyat! Bagaimana pula dengan bersedekah kepada diri sendiri?”
“Ketahuilah, tubuh manusia mempunyai 360 sendi. Kesemua sendiri ini mahu diberi sedekah setiap hari.”
“Maksud atuk??” soal Samad
“Ibarat pengguna kenderaan, mesti bayar cukai jalan atau roadtax untuk sepanjang tahun. Kenderaan itu juga perlu di servis. Begitu juga dengan menyewa rumah. Mereka perlu bayar sewa setiap bulan. Jadi, sendi kita juga perlu diberi sedekah kerana kita menggunakannya”
“Kamu nampak matahari tu, Samad?”
“Nampak atuk”
“Matahari itulah yang akan menjadi saksi atas perlakuan seluruh manusia di atas muka bumi ini kelak. Begitu juga dengan sendi-sendi kita”
“Maksud atuk sendi-sendi kita akan menjadi saksi juga di akhirat kelak?”
“Bukan hanya menjadi saksi bahkan akan menagih hak sedekahnya nanti”
“Dengan apa kita nak membayarnya tuk?” Samad kehairanan.
“Dengan amal kebaikan, tidak kira kecil mahupun besar. Maka, dengan berselawat dan salam kepada idola atuk, atuk juga mampu bersedekah untuk sendi-sendi atuk..”
“Samad makin faham atuk, maka teruskanlah dengan penerangan yang ketiga, iaitu kecintaan”
“Kamu cintakan hafiz AF7?” Tanya atuk.
“Ya tuk, saya peminatnya. Sudah semestinya.” jawab Samad
“Adakah hafiz juga mencintai kamu dan peminatnya?” soal atuk denagn nada sinis.
“Ya, sudah tentu.” Jelas Samad dengan penuh yakin
“Buktinya?” soal atuk lagi.
“Mereka selalu mengucapkan terima kasih dan menghargai peminat. Ada juga aktiviti bersama peminat.” Hujah Samad sambil tersenyum.
“Itu sahaja?” Soal atuk
“Begitulah nampaknya. Kenapa? Atuk dapat lebih daripada itu ke?” Berkerut dahi Samad memikirkan.
“Sudah semestinya. Atuk mendapat kecintaan, yang tidak mungkin dapat diberi oleh orang lain.” Jawab atuk dengan bangga.
“Apa atuk? Bunyinya sungguh menarik.”
“Kecintaan yang tidak berbelah lagi, sehinggakan ketika rohnya hampir bercerai daripada jasad, beliau masih memikirkan atuk, ummati, ummati, ummati. Kecintaan yang agung.”
“Sungguh syahdu bunyinya. Samad percaya kata-kata atuk, tidak mungkin manusia biasa bisa mengingati orang lain ketika ajal menjemput”
“Sudah tentu!”
“Jadi, teruskan dengan yang terakhir. Tak sabar rasanya. Idola atuk cukup hebat.”
“Baiklah. Kamu pasti idola kamu dapat menolong kamu di akhirat kelak?” soal atuk
“Tidak” kata Samad dengan perlahan.
“Idola atuk boleh memberi pertolongan di akhirat, pada hari yang mana tidak ada manusia lain yang mampu memberi pertolongan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat”.”
“Apakah di antara syafaat baginda?”
“Banyak. Antara syafaat Nabi ialah membebaskan ummat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar, memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun, syafaat Nabi kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal agar dicabut hukuman itu, mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka dan syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.”
“Alhamdulillah, Samad sudah mendapat pencerahan. Mulai hari ini, Rasulullah adalah idola Samad, atuk”
“Aku merindui-Mu ya Rasulullah. Allahumma solli ‘ala Muhammad” Getus atuk dalam hatinya.
Nota kaki..
Kelebihan selawat mengikut para ulama
1) Memperolehi limpah rahmat dari Allah.
2) Ditulis sepuluh kebajikan.
3) Dihapuskan sepuluh kesalahan.
4) Diangkat sepuluh darjat.
5) Memperolehi kesempurnaan iman.
6) Menjauhi dari kerugian dan penyesalan.
7) Tergolong sebagai orang-orang yang soleh.
8) Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
9) Memperoleh syafaat Nabi s.a.w.
10) Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi s.a.w.
11) Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki.
12) Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
13) Menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
14) Terselamat dari kebingungan di hari kiamat.
15) Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu (orang miskin pun boleh dapat pahala sedekah)
16) Terhindar dari kefakiran.
17) Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi Muhammad s.a.w.
18) Memperolehi keberkatan dalam hidup.
19) Terhindar dari orang-orang bakhil.
20) Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah s.w.t.
21) Memudahkan jalan bagi memasuki syurga.
22) Menjadi zakat dan pembersih diri.
23) Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat.
24) Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langit.
25) Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah.
26) Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.
27) Tergolong dalam orang-orang yang tidak melupai Nabi Muhammad s.a.w.
28) Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar.
29) Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Siratul Mustaqim di akhirat.
30) Terkabul segala hajat dan cita-cita.
Salam ukhwah dan salam penyambung dakwah
p/s: maaf kepada peminat-peminat hafiz, ianya hanyalah sekadar penambah rasa