mk

mk

Wednesday, July 13, 2011

HIKMAH DALAM DAKWAH: ANTARA BERLEMBUT DAN BERKASAR

Share it Please
Dakwah adalah tugas asasi manusia yang diwarisi sejak kejadian manusia pertama, nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa. Ringkas kata, dakwah dan manusia adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan sama sekali. Jika dipisahkan tugas dakwah daripada manusia, nescaya hilanglah kemanusiaan manusia itu dan jadilah mereka seperti binatang.


Manusia dijadikan Allah s.w.t. sebagai khalifah di muka bumi ini, iaitu sebagai makhluk yang menerima amanah Allah s.w.t. untuk mentadbir bumi ini seperti kehendak Penciptanya (Al-Baqarah: 30). Sudah tentu orang yang menerima amanah itu merupakan makhluk yang terbaik yang pernah dijadikan Allah s.w.t., kerana yang terbaik sahaja yang mampu membimbing makhluk yang lain tanpa bantahan. Untuk mengekalkan status sebagai makhluk terbaik yang memimpin ini, maka manusia perlu mengekalkan kemanusiaannya supaya tidak bertukar menjadi kebinatangan. Manusia kebinatangan tidak akan lagi diterima kepimpinannya oleh manusia kemanusiaan, bahkan tidak akan diterima oleh makhluk-makhluk yang lain. Untuk mengekalkan status itulah (makhluk terbaik), maka manusia perlu sentiasa berdakwah dan ingat mengingati antara mereka.


Dengan menjalankan tugas dakwah, generasi Sahabat r.a. diisytiharkan sebagai umat yang terbaik (khayra ummah) yang pernah dikeluarkan di dunia untuk menjadi pemimpin dan contoh kepada sekalian manusia. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali `Imran: 110 yang bermaksud: "Kamu adalah sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan untuk (memimpin) manusia, (kerana kamu) menyeru kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu sendiri beriman kepada Allah…".


Dalam erti kata lain, kerana dakwahlah, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka para Sahabat r.a. memperolehi status khayra ummah. Dengan terbentuknya generasi khayra ummah ini, Islam dapat berkembang dengan cepat untuk membawa misi rahmat untuk sekalian alam (al-Anbiya': 107), yang di dalamnya terkandung segala macam makhluk Allah s.w.t. daripada manusia dan jin sama ada Islam atau bukan Islam, binatang, tumbuh-tumbuhan, batu-batan, bahkan segala-galanya akan mengecapi rahmat jika Islam itu ditegakkan. Tanpa wujudnya generasi khayra ummah itu, tidak mungkin misi rahmat untuk sekalian alam itu akan tercapai.


Untuk membina, membentuk, menjaga dan memastikan penerusan generasi yang bersifat khayra ummah itu, Nabi s.a.w. telah bekerja keras dengan bantuan wahyu dan mukjizat, yang keseluruhan pengorbanan itu dirakamkan oleh kitab-kitab sejarah sehingga hari ini. Satu pengorbanan yang tiada tolok bandingnya, satu pengkisahan sejarah awal secara terperinci yang tiada tandingan.


Bagaimanakah cara dakwah yang dijalankan oleh Nabi s.a.w. dalam proses untuk mencapai misi rahmat untuk sekalian alam? Apakah setiap tutur kata, perbuatan dan tingkah lakunya sentiasa lemah lembut, kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w. berdakwah secara hikmah? Firman Allah s.w.t. dalam (al-Nahl: 125) bermaksud: "Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara yang paling baik…". Soalnya, apakah hikmah dan cara yang paling baik itu bermaksud sentiasa lemah lembut, sabar, tidak marah, memberi maaf dan tidak mengambil apa-apa tindakan?


Dalam rencana ini saya tidak akan membawa nas-nas daripada al-Quran atau hadis yang menganjurkan supaya berlemah lembut dalam perkataan dan perbuatan ketika berdakwah, kerana ianya telah banyak diperkatakan dalam buku-buku berkenaan dakwah, di dada-dada akhbar, corong radio dan kaca televisyen oleh pihak-pihak yang berkenaan. Di sini saya cuma ingin membawa satu lagi aspek berhikmah dalam berdakwah yang selalu tidak diketengahkan kepada masyarakat sehingga disangka hikmah itu tiada kena mengena langsung dengan kekerasan walaupun keadaan memerlukan.


Selepas peristiwa pencabulan perjanjian Madinah buat pertama kali oleh Yahudi Bani Qaynuqa` (dengan menelanjangkan wanita Islam berpurdah di pasar mereka sehingga berlaku pergaduhan dan pembunuhan antara seorang Yahudi dan seorang Islam), maka Rasulullah s.a.w. telah bertindak tegas ingin mengambil tindakan menghalau bani Yahudi tersebut keluar dari Madinah. Mengetahui hal itu, `Abdullah bin Ubay (yang ada perjanjian dan kontrak dengan Yahudi itu) telah mendesak Rasulullah s.a.w. membatalkan hasrat baginda menghalau mereka. `Abdullah berkata, "Wahai Muhammad, berbuat baiklah dengan orang-orang aku!". Tetapi permintaannya tidak diendahkan Rasulullah s.a.w. sehingga `Abdullah mengulang permintaannya dua kali lagi, namun Rasulullah s.a.w. masih tidak melayaninya. Lalu `Abdullah memegang dengan kuat poket baju besi baginda. Baginda berkata dengan baik, "Lepaskan aku!". `Abdullah tidak mengendahkannya sehingga air muka baginda berubah kerana kemarahan lalu menengking, "Celaka kau! Lepaskan aku! (wayhak arsilni)". Jawab `Abdullah, "Demi Allah, aku tak akan lepaskan kau sehingga kau berbuat baik dengan mereka…" Sehinggalah Rasulullah s.a.w. bertegas melepaskan diri daripada `Abdullah dan bertindak bersama para Sahabat r.a. menghalau Yahudi Bani Qaynuqa` ke hulu Syam.


Kisah ini diriwayatkan oleh hampir semua penulis sirah seperti Ibn Hisham (al-Sirah: 2/47), al-Tabari (al-Tarikh: 2/480), Ibn Sa`d (al-Tabaqat: 3/67) dan lain-lain. Lihat juga hal yang sama dalam Dr Muhd Sa`id Ramadhan al-Buti, Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, m.s. 248, Dar al-Fikr al-Mu`asir, Beirut, 1991. Sebuah ayat al-Quran juga diturunkan untuk merakamkan sikap `Abdullah ini iaitu ayat 51 dan 52 surah al-Maidah.
Pengajaran daripada kisah ini ialah Rasulullah s.a.w. pernah menggunakan kata-kata kesat dan kasar (celaka!) apabila keadaan memerlukan. Segala yang dilakukan baginda adalah dengan izin dan wahyu Allah s.w.t. (Surah al-Najm: 3), bermakna Allah s.w.t. mengizinkan berkasar bila berhadapan dengan orang yang layak dikasari sama ada dengan perkataan atau perbuatan.


Mungkin ada yang berkata, baginda berkasar dengan `Abdullah bin Ubay yang merupakan seorang munafik, tidak sama dengan orang beriman dan Islam. Jawabnya, walaupun `Abdullah itu dikenali sebagai munafik sekarang, tetapi Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat r.a. yang setia tidak pernah mengatakan secara jelas bahawa `Abdullah dan para Sahabat lain yang sejenis dengannya sebagai munafik. Ini kerana tiada siapa pun termasuk baginda yang berhak menafikan keIslaman seseorang yang telah mengaku sebagai Islam. Apatah lagi orang seperti `Abdullah itu yang bersembahyang bersama baginda dan para Sahabat, bagaimana mungkin baginda menafikan keIslamannya atau menuduhnya secara terang-terangan sebagai munafik. Bahkan baginda melayaninya sebagaimana para Sahabat r.a. yang lain. Baginda tidak pernah menuduh sesiapa pun yang telah mengucapkan syahadah sebagai tidak Islam. Apa yang baginda lakukan sebagai langkah berawas hanyalah dengan menyebutkan sifat-sifat orang munafik dan batas-batas antara iman dan kufur.


Tentang hal ini Dr. al-Buti menulis, "… Namun begitu, Rasulullah s.a.w. melayani `Abdullah -walaupun begitu sikapnya terhadap baginda- seolah-olah dia seorang Islam, tidak melayaninya sebagai seorang musyrik, murtad atau menuduhnya sebagai Islam palsu… Itu menunjukkan -sebagaimana diijmakkan oleh ulama- bahawa orang munafik dilayan di dunia ini sebagai seorang Islam biasa walaupun kemunafikannya adalah pasti. Sebabnya, hukum-hakam Islam terdiri daripada dua bahagian: Pertama, yang praktikal di dunia dan setiap orang Islam diperintah mengamalkannya. Kedua, yang praktikal di akhirat dan terserah hukumnya kepada Allah s.w.t." (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, m.s: 252).


Jadi Rasulullah s.a.w. berkasar dan menengking `Abdullah bin Ubay dalam keadaan baginda berinteraksi dengan seorang Islam yang wajar diperlakukan demikian. Sekiranya `Abdullah ketika itu dianggap sebagai kafir, nescaya baginda atau Sahabat yang setia telah membunuhnya kerana kurang ajar terhadap Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang nabi dan ketua negara Madinah. Dari sini jelaslah bahawa berkasar dan berkeras yang kena pada tempatnya adalah juga merupakan hikmah dalam berdakwah. Bahkan, berlembut pada tempat yang wajar berkasar adalah satu pendekatan yang tidak hikmah dan tidak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Umpamanya berlembut dengan anak yang telah berusia lebih sepuluh tahun dengan tidak menghukumnya atau memukulnya walaupun enggan bersembahyang, maka itu dikatakan tidak berhikmah dan tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w.


Selain daripada kisah di atas, mari kita lihat nas-nas lain yang menyokong hujah saya dalam rencana ini, semoga tidak dikatakan bergantung pada satu kisah yang boleh dipertikaikan kesahihannya (walaupun sebenarnya kisah `Abdullah bin Ubay tersebut sabit, sahih dan amat masyhur di kalangan pengkaji sirah Rasulullah s.a.w., apatah lagi ada rujukan ayat al-Quran mengenainya).


Imam al-Nawawi (rahimahuLlah) mengkhususkan satu bab dalam kitabnya Riyadhu al-Salihin tentang umpatan (atau kata mengata yang tidak disukai di belakang tuannya) yang diharuskan syarak. Beliau menyenaraikan enam sebab umpatan itu menjadi harus:


Pertama: Untuk mengadukan kezaliman. Harus bagi orang yang dizalimi untuk memberitahu pihak yang boleh menolongnya daripada terus dizalimi penzalim.


Kedua: Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dengan mengadu kepada pihak yang berupaya mengubahnya dan menceritakan (mengumpat) perbuatan salah atau mungkar yang dilakukan.


Ketiga: Meminta fatwa tentang sesuatu hukum agama yang ada kaitan dengan pihak yang diumpat dengan syarat umpatan itu perlu dilakukan untuk memahamkan orang yang diminta fatwa. Jika boleh difahami tanpa umpatan, maka umpatan tidak harus ketika itu.


Keempat: Memberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam lain tentang keburukan yang dilakukan oleh orang yang diumpat.


Kelima: Mengumpat orang yang terang-terangan melakukan kefasikan dan maksiat seperti peminum arak, penceroboh, pengumpul harta orang secara zalim (termasuk perasuah), pelaksana kerja-kerja batil dan seumpamanya.


Keenam: Memberi pengenalan seseorang yang mana jika tidak diumpat sedikit maka orang tidak akan mengenalinya, tetapi jika boleh dikenali dengan tidak mengumpatnya, maka mengumpat ketika itu adalah haram.
Imam al-Nawawi juga membawa beberapa hadis sebagai bukti Nabi s.a.w. juga mengumpat dan mengata di belakang jika keadaan mewajarkannya, seperti berikut:


Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan sanadnya daripada `Aishah r.a. bahawa seorang lelaki datang meminta izin untuk keluar daripada baginda (sedangkan keadaan ketika itu tidak membolehkan sesiapa pun berpindah keluar dari Madinah), lalu baginda berkata kepada para Sahabat: "Berilah keizinan padanya! Dia itu seburuk-buruk saudara sekeluarga!"


Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada `Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah mengata di belakang dua orang lelaki Islam yang tidak berdisiplin: "Aku rasa si Polan dan si Polan itu tak tahu apa tentang peraturan agama kita."
Selain daripada dua hadis sahih di atas, Imam al-Nawawi membawakan tiga lagi nas hadis sahih tentang umpatan yang harus. Untuk maklumat lanjut, para pembaca boleh merujuk kitab Riyadhu al-Salihin yang telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa itu, dalam bab ` Menerangkan umpatan yang harus'.


Di sebalik nas-nas yang membenarkan seseorang menengking dan mengumpat di tempat yang ada kewajarannya, timbul persoalan bagaimana kedudukan nas-nas yang menyuruh orang Islam memelihara lidah daripada menyakiti orang Islam lain. Jawabnya, nas-nas ayat al-Quran atau hadis tersebut menyebutkan tentang adab pergaulan antara sesama orang Islam yang tulin, bukan antara seorang Islam dengan seorang 'Islam' yang kualiti imannya seperti `Abdullah bin Ubay, seorang Islam yang bencikan maksiat bukan seorang 'Islam' yang sukakan maksiat dan membela kaki maksiat, seorang Islam yang memuliakan wanita bertudung bukan seorang 'Islam' yang menghina wanita bertudung dan menyanjung wanita yang mendedah dada dan peha, seorang Islam yang mengharamkan arak dan judi, bukan seorang 'Islam' yang menggalakkannya dan membela orang yang bekerja di premis arak dan judi. Jadi amatlah salah orang yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis yang melarang mencaci, menghina, mengumpat untuk menyelamatkan dirinya daripada dicaci, dihina dan diumpat, sedangkan dia tidak beriman dengan sebahagian besar daripada ayat al-Quran dan hadis itu.


Dengan rencana ini, saya kira sudah terjawab kekeliruan yang dibuat oleh `ustaz-ustaz' yang hanya membacakan nas-nas yang melarang berkasar dan mengumpat dalam berdakwah sedangkan di sana terdapat banyak nas-nas lain yang membenarkan, bahkan mewajibkannya seperti mengumpat orang yang memalsukan nas atau hukum Islam (dalam ilmu al-Jurh wa al-Ta`dil di kalangan ulama hadis). Dengan rencana ini juga, saya kira terjawablah pendustaan Astora Jabat dalam Bicara Agamanya yang bertajuk 'UMNO perlu adakan ceramah' (Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000) yang melabelkan para penceramah di pihak musuh parti politiknya sebagai 'penceramah kaki makian dan cacian'. Dan semoga para penggerak dakwah Islam yang sebenar tidak teragak-agak lagi dengan acah dan acuh pihak yang menggunakan sebahagian hukum Islam untuk menyelamatkan diri daripada kritikan.


Namun begitu, saya tidak mengatakan bahawa perbuatan bercakap kasar dan mengumpat ini digalakkan dalam Islam. Hukum asalnya ialah haram, tetapi ia mnjadi harus, bahkan kadang-kadang wajib bila keadaan mewajarkannya seperti yang diterangkan oleh ulama silam yang tiada apa-apa kepentingan atau kecenderungan kepada mana-mana pihak atau parti politik yang wujud pada hari ini.
Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.




alimuda@hotmail.com
13/7/2000




sumber:
http://www.tranungkite.net/lama/berita7/alimuda1.htm


p/s: lemah lembut dlm islam adalah bradab sopan dan bebudi pekerti...
tapi tegas dalam menegakkan hukum..

No comments:

Post a Comment

Designed By xxx |